Ketika Ini, Suatu Waktu Dahulu
Apa yang anda sedang lakukan di ketika ini di suatu waktu dahulu?
Mungkin setahun dahulu, mungkin lima tahun dahulu, sepuluh tahun dahulu atau dua puluh lima tahun dahulu. Hari ulang tahun atau anniversary diambil dari sepatah perkataan Latin anniversarius yang bermaksud suatu hari bagi memperingati peristiwa lepas yang berlaku pada hari yang sama di dalam setahun.
Sebagai contoh, majalah GLAM menyambut ulang tahunnya yang ke 4 bulan ini. Pencapaian majalah yang penuh dengan sophistication dan elegence ini, sepanjang empat tahun yang lepas amat membanggakan. Di sini semua pembaca GLAM ingin mengucapkan tahniah. Semoga majalah ini akan terus popular dan bertambah jumlah pengedarannya. Pada masa yang sama, di dalam masa empat tahun juga, dunia terus berputar dan kalau anda berada di planet Utarid yang juga dikenali sebagai Mercury, empat tahun di Bumi bersamaan 16 tahun setengah di sana.
Sepanjang empat tahun yang lepas, menurut statistik seramai kira-kira 530 juta orang manusia telah dilahirkan. Dan ada kira-kira 227 juta kematian. Penduduk Bumi pula telah bertambah seramai 306 juta orang.
Anda dan saya, yang ketika ini membaca artikel ini nampaknya tidak berada di dalam statistik di atas. Tetapi angka-angka di atas adalah catatan kehidupan sebenar yang berlaku sepanjang empat tahun yang lepas, samada kita sedar ataupun tidak. Samada kita peduli ataupun tidak.
Jangan sekali-kali kita merasa confuse tentang kehidupan peribadi dan kerja kita. Sedikit peringatan tentang kerja kita (yang kita bangga-banggakan, kadang-kadang), pengalaman dan skill yang kita ada. Buat pengetahuan anda, di luar sana ada beratus-ratus orang yang punya kelayakan, kemahiran dan mungkin bekerja sama seperti kerja yang kita lakukan sekarang. Mungkin ada di antara mereka yang melakukan kerja itu dengan lebih baik lagi. We are not indispensable. Kalau kita tiada, amat mudah peranan kita dan tempat kita untuk diganti. Itu adalah fakta.
Tetapi kehidupan peribadi yang anda miliki adalah sebuah kehidupan yang unik dan hak milik anda seorang. Di dalam dunia ini hanya ada seorang anda. Yang punya nama, rupa paras, kehidupan sosial, latar belakang, fahaman, perhubungan, dan lain-lain. Anda jugalah yang bertanggung jawab pada kehidupan peribadi anda secara keseluruhannya. Seperti yang dikatakan tadi, tiada duanya kehidupan peribadi ini.
Kehidupan kita ini bukan sekadar masa di pejabat dan tempat kerja, di dalam kereta ketika mengharungi traffic jam setiap hari atau di depan skrin komputer. Bukan juga ketika kita menghadiri mesyuarat dan membuat keputusan mengenai strategi perniagaan dan hala tuju syarikat kita. Kehidupan kita bukan cuma membayar bil-bil tertangguh setiap bulan. Kehidupan ini bukan hanya sekadar yang rutin. Kehidupan yang disebutkan tadi cuma kehidupan di fikiran kita. Yang sentiasa bermain di benak kita.
Bagaimana dengan kehidupan di dalam hati dan jiwa kita? Jarang benar di waktu ini orang bercakap tentang jiwa dan hati. Tentang jiwa dan perasaan. Kehidupan rohani. Kita semua terlalu leka dan sibuk dengan kerjaya dan risau tentang mencari wang mata pencarian, sambil lupa yang bezanya antara kita dan orang lain ialah tentang hati dan jiwa, tentang hati dan perasaan.
Ini satu soalan cepugangsa: Sila nyatakan resume anda? Saya tidak bermaksud resume pengalaman kerja dan taraf pendidikan anda.
Kalau sayalah, begini yang boleh saya nyatakan. Saya ini ialah seorang bapa kepada empat orang anak. Dua orang lelaki dan dua orang perempuan. Saya cuba sedaya upaya untuk tidak membiarkan kerja resmi saya menjadi penghalang kepada tugas saya yang lebih besar iaitu menjadi parent yang hebat dan bertanggungjawab. Saya cuba bersama anak-anak di waktu pagi menghantar mereka ke sekolah dan bersama mereka di waktu makan malam. Mendengar cerita-cerita mereka. Melayan kerenah mereka. Saya adalah hero kepada anak-anak saya.
Saya juga menjadi sahabat karib isteri yang tercinta. Saya cuba segala yang terdaya untuk megisi segala janji-janji yang telah saya lafazkan dahulu. Saya akan berterus terang. Saya akan memohon doa kepada Tuhan pada waktu siang dan malam supaya akan dapat terus bertahan menghadapi segala ujian dan rintangan.
Saya akan terus menjadi seorang anak yang baik kepada ibubapa saya. Saya juga akan berusaha untuk terus menjadi seorang yang bertanggungjawab di kalangan ahli keluarga, saudara mara dan masyarakat sekeliling saya. Saya akan terus menjadi sahabat dan rakan karib kepada teman-teman saya. Seperti kata orang sekarang, ‘saya akan lakukan yang terbaik’.
Nasihat ikhlas kepada kita semua: Get a life.
Carilah kehidupan yang punya hati, jiwa dan perasaan. Kehidupan yang berteraskan keikhlasan dan kejujuran. Kehidupan yang bukan sekadar untuk berlumba untuk naik pangkat serta mendapat gaji yang lebih lumayan, rumah yang lebih besar, kereta idaman, dan terlalu asyik membeli belah aksesori yang glamor. Kehidupan yang bukan sekadar yang itu sahaja.
Kalau anda belum bertemu kehidupan yang saya maksudkan, anda perlu berhenti sejenak untuk menikmati kehidupan yang sebenar. Pernah anda menyedari betapa cantiknya bulan penuh yang mengambang? Betapa indahnya suasana di waktu matahari terbit. Anda pernah menghidu bau rambut anak-anak anda, atau menghargai warna iris mata mereka? Betapa manisnya senyuman si dia. Betapa kasihnya ibubapa kita kepada kita. Dan macam-macam lagi yang kita sudah terlupa.
Jadi apa yang ditunggu lagi. Jangan tunggu hanya ketika kita terlantar di atas katil hospital, baru kita mahu menghargai nikmat kehidupan ini. Things happened. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku esok hari. Kemalangan, bencana alam, krisis rumahtangga, politik dan ekonomi. Berita-berita ini ada pada setiap hari di dalam akhbar-akhbar. Kita tidak ambil peduli kerana itu berita orang lain dan tiada kena mengena dengan kita. Tapi seperti kata Murphy’s Law, ‘Whatever can go wrong, will go wrong’. Tidak mustahil ia tidak akan berlaku kepada kita.
Dapatkan kehidupan yang sebenar. Seperti kata Anna Quindlen pemenang hadiah Pulitzer, ‘Get a life in which you are not alone. Find people you love, and who love you and realize that life is the best thing ever, and that you have no business taking it for granted.’ Kehidupan ini lebih manis kalau dikongsi bersama orang yang tersayang.
Kita harapkan bila kita mengenangkan kembali tentang kehidupan yang kita pilih di ketika ini suatu waktu dahulu, kita sepatutnya tersenyum dan bersyukur. Kita telah memilih kehidupan yang sebenar.
Saya akan akhiri kali ini dengan goresan tinta Fatimah A. J. Mohammad:
For every day that we must
struggle through life’s test,
there is nothing we can’t handle
if we remember Allah knows best.
-Glam-
fatahyah yahya Said,
June 10, 2009 @ 8:56 pm
Salam,
Suka baca entry ini, gaya bahasa yang ringan dan bersahaja tetapi sarat dengan ilmu yang amat berharga. Ia sering dipandang remeh dan terselindung di sebalik keegoan manusia.. Tahniah kerana saudara telah mencungkil dan menyusun letak di tempat yang sepatutnya, keep blogging..Salam untuk Jdad the natural beauty lady ever..!!
Kak Fa - Luton, UK
yeop Said,
June 19, 2009 @ 2:24 am
thanks